Assalamualaikum
Sayup-sayup kedengaran bunyi suara-suara pelanggan yang sedang rancak membincangkan mengenai kehidupan masing-masing, di gerai makan Anjung Sitompok. Bunyi kuali dan senduk berlaga juga tidak kurang hebatnya.
Aku di sini, duduk berhadapan tingkap. Melepaskan lelah sebentar, selepas melayan pelanggan yang menggila kerana kelaparan dan kehausan. Bertemankan rakan sekerja yang sedang lalai berhadapan dengan "war"nya dalam permainan Clash of Clan(COC), aku mulai membuat jari jemari kenit ku, berlumba-lumba menekan papan kekunci telefon pintar milik diri ini.
Rindu. Ya. Itu tajuk buat entry kali ini. Aku rindu. Pada siapa diri ini rindu? Pada roh dahulu yang pernah mendiami jasad ini. Pada roh dulu yang sangat garang dan ganas. Roh yang dahulunya berlagak samseng dan taiko. Ya. Aku rindu benar pada roh itu.
Sejak kenal pada Islam, pemakaian ku tentu saja ikut berubah. Lengan baju yang dahulunya di lipat sehingga menampakkan tangan kecil ini, sekarang sudah mulai aku tutupi. Kaki yang dahulunya bebas ku tayangkan, juga turut aku lindungi. Semuanya kerana Dia. Kesayangan nurani yang baru. Pencipta jasad buat roh penulis ini.
Perubahan pakaian tersebut membuatkan keperibadianku juga turut berubah sedikit demi sedikit. Aku yang dulunya garang, kini sudah mulai sedikit lembut. Aku yang dulunya samseng, sudah mulai menghilangkan kesamsengannya. Semua ku lakukan kerana Dia. Dia suka akan kelembutan. Maka kerana cinta pada-Nya, aku turutkan perintah-Nya. Tapi, aku rindu. Rindu pada roh samseng itu.
Roh yang ada sekarang cumalah roh yang nakal dan keanak-anakkan. Tiada lagi lipatan lengan yang taiko. Tiada lagi lipatan seluar seperti dahulu. Tiada lagi kegarangan seperti dahulu. Aku rindu. Rindu sekali. Ingin sekali menjadi samseng seperti dahulu. Aku rindu kamu wahai roh penghuni jasad.
Sekian,
Jasad yang merindui rohnya
No comments:
Post a Comment
Any comment?